mutakhir

Wanita kemurungan ditahan AADK

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Wanita yang didakwa mengalami masalah kemurungan hingga mengabaikan enam anaknya ditahan sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), hari ini.

Dia yang berusia 32 tahun ditahan di rumah nenek suaminya di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor pada jam 7 pagi selepas didapati masih berada di bawah pengaruh dadah.

Sebelum ini kisah lima anak wanita itu yang masih kecil dijaga anak sulungnya berusia 12 tahun disiarkan media selepas ibu mereka didakwa enggan menjaganya kerana mengalami masalah kemurungan manakala bapa mereka sudah ditahan polis atas kesalahan dadah, awal Februari lalu.

Pegawai AADK Daerah Tumpat Siti Morni Mustafa berkata, sebaik menerima maklumat dan aduan, pihaknya segera ke rumah itu dan menjalankan pemeriksaan.

"Suspek ketika itu sedang tidur dan dia akhirnya menyerah diri serta sanggup ditahan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan.

"Hasil ujian saringan mendapati wanita itu positif dadah jenis methampethamine," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Siti Morni berkata, wanita terbabit dibawa menjalani ujian calitan Covid-19 dan dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Wanita Bachok.

Menurutnya, enam anak wanita itu yang berusia enam bulan, dua, empat, lima, lapan dan 12 tahun kini dijaga mentuanya di Kampung Ketil, di sini.

"Dia sendiri yang bersetuju untuk dihantar ke PUSPEN bagi menjalani rawatan pemulihan sehingga pulih atau satu tempoh tertentu," katanya.

- tamat

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 7:52pm
d