mutakhir

Saksi nampak van terbabas masuk laluan bertentangan [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: "Saya nampak van itu terbabas sebelum terdengar dentuman kuat," kata Nik Nuriman Nik Pa, 35, saksi kemalangan maut yang mengorbankan nyawa sepasang suami isteri di Jalan Saujana Impian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, dua anak mangsa masing-masing berusia tujuh dan 13 tahun dilaporkan cedera selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van Toyota di lokasi terbabit.

Nik Nuriman berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anak berada di dalam kereta yang terletak di parkir luar sebuah pasar raya terletak berhadapan jalan berkenaan.

"Beberapa minit kemudian saya melihat sebuah van berwarna putih dari arah Semenyih ke Kuala Lumpur masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Bezza hingga menyebabkan bunyi dentuman kuat.

"Saya terus berlari pergi ke kereta Perodua Bezza berkenaan dengan menyeberang jalan terbabit. Saya nampak ada empat orang dalam kereta itu.

"Saya terus menarik cermin kereta yang retak untuk buka kunci (kereta). Saya nampak ada seorang kanak-kanak lelaki menangis di bahagian belakang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga operator kilang berkata, dia melihat pemandu, penumpang hadapan serta seorang kanak-kanak perempuan di bahagian belakang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Saya bersama beberapa orang awam lain bawa keluar kanak-kanak lelaki itu sebab kami melihat dia menangis. Namun, kami (orang awam) tidak berani mengeluarkan mangsa lain kerana keadaan mereka parah.

"Orang awam yang berada di lokasi kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum pihak polis dan bomba tiba di lokasi bagi mengeluarkan mangsa," katanya.

Menurutnya, beliau merasa terkejut kerana pertama kali melihat kemalangan yang berlaku di depan mata.

"Memang takut dan gementar kerana ini kali pertama ini berlaku dalam sekelip mata. Melihat keadaan mangsa yang meninggal dunia, terdetik rasa sedih di hati saya bila melihat anak-anak arwah," katanya.

Kejadian itu juga sempat dirakam oleh kamera papan pemuka pada kereta Nik Nuriman yang kemudian memuat naik video berkenaan di media sosial, semalam.

Dalam rakaman video berdurasi satu minit 37 saat itu menunjukkan sebuah van Toyota berwarna putih melanggar pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Perodua Bezza.

Turut kelihatan dalam video berkenaan adalah kehadiran orang ramai yang cuba membantu mengeluarkan mangsa yang menaiki Perodua Bezza.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan suami isteri meninggal dunia, manakala dua anak mereka cedera selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Saujana Impian, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memaklumkan siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu van berkenaan berusia 28 tahun yang memandu kenderaan itu dari arah Semenyih menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan.

Menurutnya, van itu kemudian melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Bezza berkenaan.

Berita berkaitan

Identiti mangsa kemalangan di Kajang sudah dikenal pasti

Kecuaian pemandu van dipercayai punca kemalangan

Suami isteri maut, dua anak cedera kemalangan

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 8:42am
d