mutakhir

Pasangan kembar teruja kembali ke sekolah [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Pasangan kembar seiras Che Khairah Hani Che Kamaruddin dan Che Khairunnisa Hani yang masing-masing berusia 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bemban teruja apabila dapat kembali ke sekolah seperti sediakala.

Malah pasangan kembar berkenaan turut mencuri tumpuan apabila dihantar oleh bapa mereka, Che Kamaruddin Che Hamad, 62, dengan menaiki beca di hadapan pintu pagar sekolah.

Menurut Che Khairah Hani, dia dan kakaknya, sudah lama menunggu saat untuk ke sekolah dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PnP) seperti sebelum ini berbanding proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak Januari lalu.

"Walaupun ibu dan ayah risau apabila dibenarkan kembali ke sekolah, namun kami akan menjaga diri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Alhamdulillah, tahun ini kami ditempatkan di dalam kelas yang sama dan tidak pernah terpisah sejak di Tahun Satu sehingga sekarang sekaligus memudahkan saya dan kakak menyiapkan tugasan sekolah yang diberikan oleh guru," katanya ketika ditemui di perkarangan SK Sri Bemban, di sini, hari ini.

Sementara itu, Che Kamaruddin berkata, keterujaan anak bongsu daripada 10 beradik itu untuk kembali ke sekolah sedikit sebanyak menghilangkan kebimbangannya untuk melepaskan pasangan kembar itu ke sekolah dalam situasi pandemik Covid-19 yang belum reda.

"Bagaimanapun saya akur dengan keputusan kerajaan dan yakin dengan kemampuan guru serta pihak sekolah dalam mengendalikan SOP selain mereka juga sudah matang untuk berfikir.

"Persediaan awal seperti menyediakan kelengkapan persekolahan dua anak kembar ini sudah dilakukan sejak dari awal lagi bagi menghadapi kemungkinan pembukaan semula sekolah secara berperingkat," katanya.

Manakala bagi seorang ibu, Salmah Mohamad Din, 46, berkata, dia berada dalam dilema apabila terpaksa melepaskan anaknya ke sekolah ketika kes Covid-19 masih mencecah empat angka.

"Bagaimanapun dia yakin tanggungjawab dan disiplin setiap pelajar, guru dan pentadbir sekolah memainkan peranan penting bagi mengelak penularan pandemik itu di sekolah.

"Saya juga berpesan kepada anak supaya sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal dan mempraktikkan norma baharu di sekolah selain sentiasa memakai pelitup mula dan membersihkan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan," katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 9:00am
d