mutakhir

Pemandu van akan direman pagi ini

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Dua anak pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Saujana Impian, di sini, semalam, dilaporkan cedera di kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Kajang.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Remyzan Baharuddin, 42, dan isterinya, Suzyla Ahmad Dahlan, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van Toyota di lokasi berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, anak mangsa, Raiha Syuhaida Remyzan, 13, dan Ra'if Adam Lutfan Remyzan, 7, pula cedera di kepala akibat kemalangan itu.

"Ujian saringan air kencing dan alkohol dilakukan terhadap pemandu van terbabit didapati negatif.

"Bedah siasat terhadap mayat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang dijangka akan dijalankan selepas mendapat keputusan ujian swab Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Salbiah Anisdi talian 01129052233 untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan pemandu van tersebut akan di bawa ke Mahkamah Sesyen Kajang pagi ini bagi mendapatkan perintah reman.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan suami isteri meninggal dunia, manakala dua anak mereka cedera selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Saujana Impian, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memaklumkan siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu van berkenaan berusia 28 tahun yang memandu kenderaan itu dari arah Semenyih menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan.

Menurutnya, van itu kemudian melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Bezza berkenaan.

Berita berkaitan

Saksi nampak van terbabas masuk laluan bertentangan

Identiti mangsa kemalangan di Kajang sudah dikenal pasti

Kecuaian pemandu van dipercayai punca kemalangan

Suami isteri maut, dua anak cedera kemalangan

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 9:22am
d