mutakhir

44 ditahan terbabit penipuan pelaburan Forex

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 44 individu termasuk tujuh wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti perjudian dan penipuan pelaburan Forex secara dalam talian dalam serbuan di sebuah servis apartmen di Jalan Perak, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya melakukan serbuan di lokasi terbabit kira-kira 10 malam tadi.

"Hasil serbuan dilakukan di premis berkenaan, kami menahan 37 lelaki dan tujuh wanita berusia 17 hingga 41 tahun kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian dan penipuan pelaburan secara dalam talian.

"Dalam pemeriksaan itu, kami merampas 22 komputer riba, 53 komputer, 286 telefon bimbit pelbagai jenama , satu kad sim dan satu kad akses yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan sebuah premis 'penthouse' sebagai pusat operasi bagi aktiviti perjudian dan penipuan pelaburan secara dalam talian.

"Sindiket ini dipercayai mensasarkan pelanggan dari luar negara seperti Taiwan dan China dengan menggunakan aplikasi WeChat.

"Premis dipercayai dijadikan sebagai 'pusat khidmat pelanggan' sejak Ogos 2020 dengan bayaran sewa sebanyak RM15,000 sebulan.

"Malah, sindiket itu turut mengupah pekerja tempatan dengan gaji kira-kira RM2,000 sebulan dan mereka bekerja bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam," katanya.

Beliau berkata, semua individu ditahan dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan 18 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 4) (2021).

"Ia membabitkan kesalahan terbabit dalam aktiviti dengan kehadiran yang ramai sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

"Semua tangkapan dan rampasan itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 9:51am
d