mutakhir

Kapal asing lepas minyak dikenakan perintah penahanan

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan perintah penahanan terhadap sebuah kapal asing yang disyaki melepaskan minyak di perairan negara.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, perintah penahanan itu dikeluarkan semalam dan dibuat mengikut Seksyen 48, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan siasatan mengikut Seksyen 27 akta sama.

"Pasukan penyiasat JAS Selangor sudah merakam percakapan dan memeriksa dokumen kapal bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Persampelan juga dilakukan ke atas beberapa bahagian kapal dan sebanyak tiga sampel sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan bahawa jabatan itu sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada berkompromi terhadap penjenayah alam sekitar.

Terdahulu pada Sabtu, media melaporkan sebuah kapal kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas disyaki membuang sisa minyak di perairan Selangor kira-kira 21.7 batu nautika timur laut Pulau Jarak, Lumut, Perak.

Penahanan itu dilakukan hasil tinjauan udara dilakukan pesawat APMM yang mengesan aktiviti berkenaan.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 10:47am
d