mutakhir

Kaji kesesuaian BDR sektor awam, swasta dengan gaji penuh - PM [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan mengkaji kesesuaian memperluas kemudahan Berkerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam dan swasta dengan gaji penuh, bagi menjaga ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri menjaga anak yang baru lahir.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah berkenaan bagi menggalakkan tanggungjawab bersama dan membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja golongan itu.

"Saya menyarankan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia, melihat kesesuaian pemerluasan kemudahan ini," katanya ketika berucap sempena Hari Wanita 2021 secara rakaman yang disiarkan di beberapa rangkaian televisyen hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mengkaji jika kemudahan BDR itu dapat dipanjangkan kepada wanita atau lelaki yang kematian pasangan, bagi membolehkan mereka menguruskan perkara berkaitan dengan urusan kematian yang lazimnya memerlukan masa yang agak lama untuk diselesaikan.

Muhyiddin secara tegas juga menggesa semua pihak, supaya memberikan perhatian kepada penyediaan persekitaran kerja yang selamat termasuklah memastikan adanya usaha-usaha pencegahan daripada berlakunya gangguan seksual.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 11:43am
d