mutakhir

Pengurusan pengangkutan lebih baik elak kemalangan

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Risiko kemalangan dapat dikurangkan dengan pengurusan pengangkutan yang baik oleh majikan.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam kenyataannya hari ini menegaskan insiden runtuhan jejambat di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) baru-baru ini bukan perkara baharu namun yakin ia boleh dielak.

Katanya, pengurusan pengangkutan yang baik akan dapat melindungi pekerja dan orang awam daripada risiko tertentu.

Menurutnya, isu keselamatan dan kesihatan di industri pembinaan bukan saja mengancam pekerja malah turut memberi kesan kepada orang awam khususnya apabila sebuah projek baik pulih atau naik taraf membabitkan infrastruktur awam.

"Justeru, NIOSH mahu majikan dan pekerja menjalin kerjasama melalui sistem pengangkutan lebih efisyen. Pemandu bergerak membawa muatan barangan tertentu dan ia perlu mengenal pasti hazad dan kawalan risiko membabitkan perancangan perjalanan, kesediaan untuk memandu, keadaan kenderaan yang sesuai dan baik, kesesuaian muatan dibawa dan lain lain lagi.

"Perkara ini akan dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui kerjasama majikan dan pekerja melalui sistem pengurusan keselamatan lebih-lebih lagi bagi sektor perkhidmatan pengangkutan membabitkan kenderaan mengangkut dan penghantaran barang.

"Melalui pendekatan itu, insiden seperti bekalan tayar ganti, beban jatuh atau tersangkut, muatan melebihi had, pemandu dalam pengaruh alkohol atau bahan terlarang, laluan yang tidak sesuai dan mengganggu orang ramai, lori rosak di jalan raya dan pelbagai risiko lain akan dapat dikurangkan atau dielakkan," katanya.

NIOSH berharap semua pihak mengambil berat, prihatin dan bertanggungjawab dalam isu berkenaan kerana kemalangan jalan raya yang berlaku ini kebiasaannya dianggap takdir dan lumrah.

"Hakikatnya, ia boleh dikawal jika semua pihak memainkan peranan masing-masing. dan budaya berhemah perlu diamalkan di mana sahaja setiap masa," katanya.

Terdahulu, dua wanita dilaporkan maut dalam kejadian runtuhan jejambat pembinaan SUKE yang menimpa van pekerja dinaiki mereka ketika melalui MRR2 pada 3 Mac lalu.

Kejadian jam 5.58 petang itu mengakibatkan dua lagi rakan mereka serta seorang lelaki yang juga pemandu van dilaporkan mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 1:18pm
d