mutakhir

Ghairah guna Datuk palsu untuk perhatian

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan muda dilihat sengaja bermegah dan menggunakan gelaran Datuk untuk mendapatkan pengaruh bagi menarik perhatian golongan tertentu.

Mendedahkan perkara itu, Naib Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) Datuk Abdul Razak Dawood berkata, disebabkan trend itu, penggunaan Datuk palsu semakin berleluasa mengakibatkan ramai pemegang asli gelaran itu malu dan aib.

"Kita kesan ramai golongan muda menggunakan gelaran ini untuk memerangkap orang sebagai tarikan perniagaan mereka, ini semua membabitkan ego.

"Bukan saja dalam bidang perniagaan, tetapi ahli politik muda juga dilihat ghairah menggunakan gelaran ini tanpa malu.

"Sebagai rakyat Malaysia sesiapa saja boleh buat laporan sekiranya merasakan ada orang menyamar dan memakai gelaran palsu, tidak perlu tunggu buat aduan kepada kita (MDPM)," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Abdul Razak berkata, laporan terhadap pengguna gelaran palsu membolehkan siasatan mengikut Akta Kesalahan Yang Berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dijalankan.

"Untuk dapat gelaran Datuk di peringkat Persekutuan, kami hanya membenarkan umur 45 tahun ke atas, jadi orang ramai perlu ada perasaan syak sekiranya melihat ada antara golongan muda sewenang-wenangnya menggunakan gelaran ini.

"Kita kena ada perasaan syak macam mana orang muda ini dapat Datuk, apa kebajikan dan jasa dia kepada negara, negeri atau rakyat. Kalau kita peka dengan persoalan macam ini, kita boleh buat siasatan sendiri dan sekiranya didapati menipu, buatlah laporan polis," katanya.

Terdahulu, Presiden MDPM Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, setakat ini satu kes sudah didakwa di mahkamah di bawah Akta 787, manakala satu lagi kes dalam proses pendakwaan.

Beliau memberitahu, pemahaman lebih jelas mengenai akta itu akan membolehkan penguatkuasaan dilakukan sekali gus mengekang isu penggunaan gelaran palsu.

MDPM yang berkeahlian 200 orang, menghargai usaha dan berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka yang cekap bertindak sekali gus menahan tiga individu susulan penyalahgunaan gelaran Datuk, baru-baru ini.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 4:13pm
d