mutakhir

Fasiliti KKM mampu beri vaksin kepada jemaah haji

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mampu mengendalikan sendiri pemberian vaksin Covid-19 terhadap jemaah haji di negara ini, sekiranya ibadah itu dibenarkan tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pemberian vaksin itu boleh dikendalikan di fasiliti milik KKM.

Katanya, ketika ini, pihaknya menunggu jumlah kuota yang ditetapkan bagi negara ini.

"Kita masih lagi menunggu kuota haji akan diumumkan. Sekiranya haji boleh dilaksanakan tahun ini dan tentu sekali jumlah yang pergi haji membabitkan antara 30,000 hingga 50,000.

"Perkara ini mudah dilaksanakan fasiliti KKM.

"Kita ada dua calon sedia ada iaitu Sinovac dan Pfizer-BioNTech dan juga kemungkinan AstraZeneca (jika ia) boleh sampai lebih awal kerana jemaah haji yang akan ke Makkah bermula pertengahan Jun nanti," katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sini, hari ini.

Sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin itu turut disiarkan secara maya melalui aplikasi zoom.

Dr Adham berkata, pelalian boleh dilaksanakan bermula pada pertengahan Mei untuk jemaah haji jika diperlukan.

Sementara itu, berhubung isu sama ada mereka yang sudah menjalani pelalian akan dikuarantinkan, beliau berkata, KKM masih menunggu garis panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata, biarpun sudah mendapat kedua-dua dos yang diperlukan, KKM masih mengguna pakai norma baharu selain prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain penjagaan kebersihan diri.

Sementara itu, Khairy berkata, mana-mana individu yang keluar negara sebelum mendapatkan dos kedua vaksin masih perlu menjalani kuarantin sebaik tiba di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 6:34pm
    d