mutakhir

Cemas tertimbus ketika pasang kabel

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Seorang pekerja kontraktor syarikat pembekalan elektrik berdepan detik cemas selepas tertimbus ketika melakukan kerja pemasangan kabel di Taman Industri Meru, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 2.36 petang.

Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar bergegas ke lokasi kejadian di Jalan Haji Abdul Manam 1, Taman Industri Meru.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati terdapat seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun iaitu pekerja kontraktor pembekalan elektrik tertimbus sehingga menutupi paras kepala.

"Difahamkan mangsa sedang menjalankan kerja pemasangan kabel berhampiran longkang besar dipenuhi air.

"Ketika mangsa melakukan kerja di dalam lubang yang dikorek untuk pemasangan kabel, berlaku rebakan tanah sehingga menyebabkan mangsa tertimbus dalam kedudukan berdiri di kedalaman lapan kaki (2.4 meter)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian berjaya dikeluarkan pada jam 5 petang dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan untuk mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 6:58pm
d