mutakhir

Saksi pelik tiada dokumen, resit sumbangan banglo Yayasan Akalbudi kepada Yayasan Al-Falah

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau pelik kerana tiada dokumen sumbangan dana Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Yayasan Al-Falah yang dipengerusikan adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi berhubung pembelian dua lot banglo di Country Height, Kajang.

Mohd Tharuzi Mohd Nor berkata, dokumen seperti transaksi wang tunai dan resit sumbangan tidak ditemukannya semasa menjalankan siasatan kes itu.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, pada perbicaraan hari ke-48 kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Sazilee : Adakah ia (proses sumbangan dua lot banglo) sesuatu yang pelik?

Mohd Tharuzi : Pelik Yang Arif.

Berdasarkan pertuduhan ke-26, Ahmad Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian dua rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta dengan menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co yang adalah hasil aktiviti haram.

Saksi pendakwaan ke-95 itu berkata berdasarkan siasatannya terhadap pembelian dua unit hartanah di Country Height, Kajang, Selangor itu, wang berjumlah RM5.9 juta yang telah dibayar oleh Yayasan Al-Falah kepada Bee Garden Holdings Sdn Bhd (pemilik asal) menggunakan cek Lewis & Co yang adalah pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

Ketika ditanya Ahmad Sazilee mengenai senarai ahli jawatankuasa dalam Yayasan Al-Falah, Mohd Tharuzi berkata "Tiga pemegang amanah sahaja ada dalam Yayasan Al-Falah lain tiada. Agak janggal kerana hanya tiga orang urus yayasan".

Katanya lagi, daripada pemerhatiannya pada penghujung 2020 dan minggu lalu, pintu pagar dua banglo tersebut sentiasa tertutup.

Kepada soalan lain, Mohd Tharuzi juga berkata hasil siasatannya beliau mendapati Ahmad Zahid telah menerima tujuh cek berjumlah RM5 juta daripada syarikat Mastoro Kenny IT dan satu cek RM2 juta daripada individu bernama Mubarak Hussain dan kesemua cek tersebut dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co.

"Jumlah wang RM7 juta ini kemudiannya digunakan untuk membeli dua sijil simpanan tetap berjumlah RM5 juta dan RM2 juta. Ahmad Zahid kemudiannya mengarahkan B Muralidharan (rakan kongsi Lewis & Co) untuk kedua-dua simpanan tetap itu dicairkan semula.

"Daripada jumlah RM7,019,680.07 (dicairkan termasuk faedah) tersebut, RM5.9 juta dikeluarkan dan dibayar kepada Bee Garden Holdings untuk pembelian dua lot banglo manakala selebihnya dijadikan sijil simpanan tetap semula," katanya ketika membacakan penyataan saksinya sambil menunjukkan carta aliran pengeluaran wang tersebut di mahkamah.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 8:44pm
d