mutakhir

Ikhtiar OKU pekak, bisu jadi tukang gunting rambut

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Bota: Berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran dan bisu jelas bukan halangan untuk buat Farid Aidil Mat Din berusaha untuk terus maju dan mengubah kehidupan.

Malah, Farid Aidil, 28, terus gigih mencari rezeki sebagai tukang gunting rambut dengan bayaran RM7 sejak empat tahun lalu di rumahnya di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan, di sini.

Farid Aidil berkata, biarpun tidak menjalani kursus atau latihan berkaitan bidang itu, dia tetap berusaha mempelajari teknik menggunting, merapi dan memotong rambut daripada YouTube.

"Saya sangat meminati bidang ini. Pada mulanya saya mencuba gunting rambut rakan dan gembira apabila mendapat respon positif.

"Sejak itu, saya menjadi tukang gunting rambut dengan hanya meminjam peralatan rakan dan kini sudah beberapa kali membeli mesin gunting rambut sendiri, tetapi cepat rosak.

"Saya tidak mencetak kertas tanda harga atau apa-apa arahan kerana semua pelanggan sudah memahami cara saya yang memudahkan urusan dengan hanya menunjukkan isyarat tangan saja," katanya ketika ditemui pada lawatan Persatuan Sahabat OKU Negeri Perak.

Sesi temubual itu dibantu kakaknya, Noor Fashikin, 32, dan ibu bapanya, Mat Din Mat Piah, 68, dan Maimon Mohd Drus, 47.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, dia kini sedang mengumpul wang untuk menggantikan perkakas dan peralatan yang sudah uzur terutama mesin gunting untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

"Ada pelanggan cakap bunyi mesin kuat sangat dan pernah mesin itu tiba-tiba berhenti dan panas kerana ketika itu ramai pelanggan, jadi kena rehat sekejap sebab saya hanya ada satu mesin saja.

"Impian saya mahu ada perkakas dan peralatan lebih bagus tetapi wang yang dikumpul baru sedikit saja dan belum mampu untuk beli semua barangan itu kerana harganya mahal," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana hampir setiap hari ada pelanggan dalam kalangan penduduk kampung dan anggota polis balai berhampiran akan datang menggunakan khidmatnya.

Katanya, sebelum ini dia pernah bekerja makan gaji, tetapi ada yang mengambil kesempatan dengan kekurangan diri menyebabkan dia lebih gembira dapat buat kerja diminati.

Sementara itu, setiausaha persatuan berkenaan, Mahzan Mohsin berkata, mereka akan membantu mendaftarkan Farid Aidil untuk mengikuti kursus Pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) OKU anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) bagi meningkatkan kemahirannya.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 11:24pm
d