mutakhir

4,625 lagi warga ATM, petugas NTF terima vaksin [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 4,625 warga tentera dan 160 petugas dari 19 agensi bernaung di bawah National Task Force (NTF) akan menerima vaksin di Wisma Pertahanan dalam fasa 1B bermula hari ini hingga 14 Mac nanti.

Inspektor Jeneral Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Kesihatan Angkata Tentera Malaysia (ATM) Brigadier Jeneral Datuk Dr Rosman Ab Rahman berkata, seramai 6,091 individu menerima vaksin dalam Program Vaksinasi Covid-19 ATM bagi fasa 1A di seluruh negara yang bermula 24 Februari lalu hingga semalam.

"Dalam fasa 1A, ia mensasarkan semua petugas kesihatan dan kumpulan strategik ATM, manakala fasa 1B pula mensasarkan warga ATM serta pasukan keselamatan dan penguatkuasaan lain di bawah NTF.

"Selain di Wisma Pertahanan, fasa 1B membabitkan 36,026 penerima juga akan dilaksanakan secara serentak di fasiliti-fasiliti Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) ATM di seluruh negara sehingga 30 April nanti," katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Rosman berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat segelintir penerima vaksin mengalami alahan bersifat sementara selain ruam serta kegatalan di tempat suntikan.

"Ada penerima maklumkan mereka mengalami kegatalan dan ruam selain alahan, namun ia hanya bersifat sementara.

"Setakat ini, semua penerima memang setuju untuk ambil vaksin. Jika ada individu yang menolak, kami ada pasukan kaunselling bagi memberikan kesedaran mengenai kepentingan vaksin," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM Kolonel Dr Mohd Arshil Moideen berkata, proses pemberian vaksin fasa 1B di Wisma Pertahanan bermula seawal jam 8.30 pagi tadi.

"Bagi hari pertama fasa 1B di sini, seramai 240 penerima akan disuntik dan jumlah ini dijangka akan meningkat setiap hari memandangkan proses dilakukan dalam masa singkat berbanding jadual asal.

"Setakat ini, kami belum menerima sebarang laporan mengenai alahan teruk. Bagaimanapun, kami ada menyediakan pusat rawatan kecemasan di pusat pemberian vaksin bagi merawat alahan," katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 1:03pm
d