mutakhir

Polis siasat dakwaan pengetua cabul pelajar

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dipercayai menjadi mangsa seksual pengetua sekolahnya dalam kejadian di sebuah sekolah swasta di sini pada 4 Mac lalu.

Kejadian menimpa mangsa terbongkar selepas remaja itu pulang ke rumah keluarga angkatnya pada 5 Mac dan memberitahu perkara itu.

Difahamkan, mangsa mendaftar masuk di sekolah itu pada Oktober tahun lalu dan ditempatkan di bilik tidur tetamu berikutan asrama sudah penuh.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mangsa mula diganggu secara seksual oleh suspek berusia 59 tahun sejak tiga hari selepas pendaftaran masuk.

"Menurut mangsa gangguan itu berlaku hampir setiap hari sehingga sekolah berkenaan diarah tutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada November tahun lalu dan dibuka semula pada 1 Mac lalu. Mangsa tidak tinggal di situ (sekolah) sepanjang tempoh itu.

"Namun, pada awal pagi 4 Mac lalu, mangsa kembali bersekolah di sekolah itu dan masih ditempatkan di bilik tidur tetamu.

"Pada jam 4 petang hari yang sama, suspek mengganggu mangsa secara seksual dan cuba melakukan perbuatan tidak senonoh namun sempat dielak," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Agus Salim berkata, selepas kejadian, mangsa pergi ke rumah kawannya untuk menumpang tidur dan tidak menceritakan perkara itu.

"Pada 5 Mac lalu, mangsa pulang ke rumah keluarga angkatnya dan menceritakan kejadian yang berlaku di sekolah.

"Suspek menghubungi mangsa pada 7 Mac lalu dan cuba memujuknya untuk kembali ke sekolah serta memintanya tidak menceritakan perkara itu kepada orang lain," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam mengesahkan mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal.

"Suspek sebelum ini mempunyai rekod lampau iaitu Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK). Ketika ini, suspek sedang dikesan dan siasatan masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017," katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 2:46pm
d