mutakhir

Pakar kecantikan mabuk rempuh sekatan polis

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Seorang pakar kecantikan yang memandu dalam keadaan mabuk merempuh sekatan jalan raya (SJR) di laluan keluar Plaza Tol Damansara menyebabkan peralatan SJR rosak, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.05 pagi, wanita berusia 32 tahun itu yang memandu Toyota Harrier merempuh peralatan SJR sebelum dia ditahan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, beberapa peralatan mengalami kerosakan seperti papan tunjuk arah, lampu biru SJR dan kon warna oren.

"Sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya membawa wanita itu menjalani ujian pernafasan alkohol kerana dia disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

"Hasil ujian pernafasan melalui mesin Evidential Breath Analyzer mendapati dia berada di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada had yang ditetapkan semasa memandu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Ezanee berkata, wanita itu yang bertugas di sebuah pusat kecantikan di Puchong kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 45a (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 2:47pm
d