mutakhir

Kena tipu jual syiling lama

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Penuntut sebuah institusi pengajian swasta di Damansara, di sini, kerugian RM5,250 selepas menjadi mangsa penipuan urusan jual beli syiling lama.

Remaja wanita berusia 18 tahun itu diperdaya seorang lelaki yang kononnya berminat ingin membeli lapan keping syiling itu bernilai RM80,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa menerima pesanan dari laman sosial Instagram daripada lelaki warga asing bertanya mengenai wang syiling atau wang lama untuk dijual.

Menurutnya, suspek menawarkan harga RM80,000 bagi lapan keping wang syiling atau wang lama tanpa mengira nilai mata wang.

"Mangsa hanya berurusan dengan suspek melalui WhatsApp yang mana saspek menggunakan nombor antarabangsa.

"Mangsa menunjukkan wang syiling yang dimiliki kepada suspek dan dia bersetuju dengan syiling yang ditunjukkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, selepas itu mangsa menyerahkan nombor akaun miliknya untuk suspek memasukkan wang hasil jualan itu.

"Suspek kemudian menyatakan wang sudah dimasukkan tetapi disekat untuk pengeluaran dan meminta mangsa memasukkan wang caj transaksi berjumlah RM800 tetapi mangsa tidak mempunyai wang sebanyak itu.

"Dia kemudian memasukkan RM100 sahaja ke dalam nombor akaun satu lelaki warga tempatan yang dipercayai 'keldai akaun'," katanya.

Beliau berkata, suspek tidak berpuas hati dengan jumlah yang dimasukkan oleh mangsa dan sering menghubungi mangsa serta membuat pelbagai alasan supaya memasukkan lagi wang kononnya wang RM80,000 itu diterima oleh mangsa.

"Akibatnya, wanita terbabit melakukan tujuh transaksi ke dalam akaun yang sama berjumlah RM5,250 bagi tujuan pelepasan wang yang disekat.

"Mangsa yang tidak mengetahui muslihat suspek mula menyedari ditipu apabila lelaki itu masih meminta wang daripadanya namun tidak menyuruh menghantar syiling lama itu," katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam urusan jual beli apa jua barang supaya tidak mudah ditipu dengan pelbagai muslihat licik penjenayah.

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 4:02pm
d