mutakhir

Sesat pertama kali daki Bukit Beruang

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Seorang lelaki berusia 57 tahun yang pertama kali mendaki Bukit Beruang di sini terpaksa diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh selepas sesat di kawasan berkenaan malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 8.06 malam tadi dan tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

Katanya, mangsa yang keletihan ditemui kira-kira jam 8.50 malam selepas hampir sejam sesat di bukit berkenaan.

Menurutnya, usaha menyelamat diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK II) Mohd IswandyAriffin mendapati mangsa seorang lelaki lingkungan umur 57 tahun sesat di laluan pendakian antara check point dua ke check point satu.

"Sebelum itu pasukan operasi memaklumkan kepada mangsa melalui telefon supaya tidak bergerak dan menunggu di lokasi sehingga pasukan berkenaan sampai bagi mengelak sebarang kemungkinan.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kemudian bertindak menuju ke check point dua melalui laluan pendaki dan mendapati mangsa dalam keadaan selamat dan dibawa keluar hingga ke kaki bukit dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai mendaki dengan kumpulan atau lebih daripada seorang bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 4:10pm
d