mutakhir

Buntu anak hilang, motosikal ditinggalkan tidak berkunci

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seorang bapa buntu memikirkan nasib anak lelakinya selepas gagal dalam usaha menjejaki lelaki itu sejak dilaporkan hilang di Sungai Besi di sini, Sabtu lalu.

Sudirman Daek, 50, mengetahui kehilangan anak sulung daripada empat beradik, Muhammad Amirul Shafiq, 25, selepas diberitahu oleh rakan anaknya itu pada 11 malam hari berkenaan.

Menurutnya, kali terakhir Muhammad Amirul yang juga peniaga telefon bimbit membuat penghantaran tiga unit telefon pintar Apple iPhone 12 berharga lebih RM17,000 kepada seorang pembeli di sebuah premis perniagaan di Sungai Besi, pada 7.30 malam.

"Selepas itu, anak saya gagal dihubungi oleh rakan kongsinya iaitu Muhd Yusof Sakir Ahmad. Rakannya itu cuba menghubungi Amirul beberapa kali, namun tidak berhasil lalu memaklumkan kehilangan Amirul kepada saya.

"Saya segera berjumpa Yusof dan kami cuba mencarinya di lokasi terakhir. Kami terkejut apabila menemui motosikalnya ditinggalkan tidak berkunci di sebuah kedai makan di kawasan terbabit.

"Saya mengesyaki Amirul dilarikan individu lain kerana dia tidak pernah meninggalkan motosikal kesayangannya itu tidak berkunci, malah ke mana saja dia pergi, pasti akan beritahu saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berikutan kehilangan anaknya itu, Sudirman berkata, dia sudah membuat laporan polis pada awal pagi Ahad lalu selepas pelbagai usaha mencari Amirul tidak berhasil.

Menurutnya, apa yang dibimbangi adalah keselamatan anaknya itu dan berharap Amirul akan ditemui dengan segera.

Yusof, 23, yang juga rakan baik Amirul berkata, dia pelik apabila Amirul gagal dihubungi selepas membuat penghantaran telefon kepada pelanggan mereka.

"Kebiasaannya kami membuat penghantaran bersama tapi pada hari kejadian, kami terpaksa berpecah kerana saya perlu membuat penghantaran di tempat lain.

"Sepanjang masa kami berhubung melalui WhatsApp dan mesej terakhir dia beritahu berada di kedai makan menunggu pembeli keluarkan duit nak buat bayaran secara tunai. Kemudiannya WhatsApp saya tidak berbalas lagi dan saya cuba menghubunginya tapi gagal.

"Saya ada hubungi pembeli terbabit tapi lelaki itu mendakwa tidak berjumpa Amirul. Apa yang peliknya, dia menyekat panggilan saya dan tidak meminta saya pulangkan deposit RM100 yang dibayar sebelum ini," katanya yang turut membuat laporan polis pada hari kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 4:59pm
d