mutakhir

Peniaga didakwa salah guna wang pesara RM130,100

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini atas pertuduhan menyalah guna wang milik seorang pesara swasta berjumlah RM130,100 membabitkan pembelian sembilan plot tanah, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Irwan Wiji, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara tidak jujur menyalah guna wang berjumlah RM130,100 milik Mohamed Azmi Mohamed Taufik, 60, yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikat tertuduh, iaitu Syarikat Budi Legasi Sdn Bhd.

Wang itu sepatutnya digunakan untuk tujuan pembelian sembilan plot tanah di alamat Lot 15499 di Mukim Tanjung Dua Belas, Tanjong Rabok, Daerah Kuala Langat, Selangor; Lot 3483 Mukim Sungai Panjang, Daerah Sabak Bernam, Selangor dan Lot 20745 Mukim Pancang Bedena di Daerah Sabak Bernam, Selangor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini antara 23 Februari hingga 3 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Izam A Ibrahim yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mei, untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 6:24pm
d