mutakhir

Youtuber mohon maaf insiden gaduh ketika futsal

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Saya minta maaf kepada semua yang terkesan, sepatutnya saya tunjuk contoh baik tetapi tidak kerana bertindak mengikut emosi," kata Youtuber, Isa Isarb.

Isa Isarb atau nama sebenarnya Isa Batharul Zaman, 23, membuat permohonan maaf itu menerusi video berdurasi 17 minit 32 saat yang dimuat naik di Instagram (IG) miliknya semalam.

Perkongsian video itu bertujuan menjelaskan keadaan sebenar dan kisah di sebalik insiden pergaduhan di gelanggang futsal dekat Taman Perindustrian Subang, Selangor, Jumaat lalu.

Menerusi video itu, Isa memaklumkan individu terbabit sudah menarik semula laporan polis yang dibuat dan pihaknya bersetuju membayar RM8,000 sebagai ganti rugi kepada mangsa.

Katanya, bayaran pertama sebanyak RM5,000 dijelaskan pada 6 Mac lalu dan baki RM3,000 lagi akan dilangsaikan pada 8 April depan.

"Ia (bayaran) itu tidak setanding dengan kesan terhadapnya (mangsa) tetapi itu yang sudah dipersetujui bersama.

"Semuanya selesai cuma, keadaan jadi bertambah rumit apabila kisah itu tular di Twitter dan ia bukan hanya memburukkan nama malah bahagian pemasaran saya menerima banyak kiriman mesej berbaur makian selain tuntutan pemulangan wang bayaran dibuat oleh pelanggan.

"Ada dalam RM30,000 hingga RM40,000 yang sudah dipulangkan semula," katanya.

Isa berkata, selain menanggung kerugian wang ringgit, dia turut kehilangan 30,000 pengikut di saluran Youtube.

"Ada 2.06 juta pengikut di Youtube tetapi jumlah itu berkurangan menjadi 2.03 juta selepas kes berkenaan.

"Ini bermakna 30,000 pengikut berhenti mengikuti saluran di Youtube," katanya.

Meskipun begitu, Isa berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengambil tindakan pantas dalam mengendalikan kes berkenaan.

Katanya, polis sudah mengambil tindakan sepatutnya dan dia menganggap kes itu sudah selesai.

"Apa yang berlaku disebabkan saya terlalu ikutkan darah muda.

"Saya akan cuba perbaiki diri dari masa ke semasa," katanya.

Terdahulu, satu hantaran berserta video mengenai seorang youtuber bersama beberapa rakannya didakwa memukul seorang lelaki ketika perlawanan futsal tular di media sosial.

Dalam video berdurasi 31 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki dilihat bergaduh di gelanggang futsal berkenaan.

Susulan insiden itu, polis menahan 12 individu termasuk Youtuber Ahad lalu dan mengenakan kompaun kerana terbabit dalam pergaduhan itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, tindakan itu diambil selepas mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 7:19pm
d