mutakhir

Lelaki terbabit kemalangan suami isteri maut didakwa esok

Oleh BERNAMA

Kajang: Seorang suspek lelaki yang memandu kenderaan sehingga mengakibatkan suami isteri maut dan dua anak mereka cedera dalam kemalangan jalan raya di Jalan Saujana Impian, Kajang, dekat sini, Ahad lalu, akan didakwa di mahkamah, esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang merupakan seorang warga tempatan berusia 28 tahun akan dituduh di Mahkamah Kajang pada 9 pagi.

"Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu, suami isteri berkenaan yang dikenali sebagai Remyzan Baharudin, 42, dan isteri Suzyla Ahmad Dahlan, 40 dan dua anak mereka cedera dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Bezza dan van di jalan berkenaan.

Dalam kejadian pada 4 petang itu, kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan yang hilang kawalan, sebelum merempuh penghadang jalan dan memasuki laluan mereka.

Kemalangan itu menyebabkan Remyzan dan Suzyla meninggal dunia di tempat kejadian.

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 10:15pm
d