mutakhir

Pemandu lori dipukul, cuba lari selepas kemalangan [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Kuala Langat: Pemandu lori cedera dipercayai dipukul orang awam ketika cuba melarikan diri selepas terbabit kemalangan di Jalan Perak Kanan, Kampung Bukit Changgang, dekat sini, petang semalam.

Lelaki berusia 53 tahun itu mengalami kecederaan di kepala, leher, muka, belakang badan serta tangan dan kaki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, lelaki berkenaan dipukul selepas melanggar sebuah motosikal dan cuba melarikan diri.

"Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, lelaki berkenaan dipercayai cuba melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal berusia 21 tahun yang sedang bergerak dari arah Jalan Banting-Dengkil menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal itu dilanggar pemandu lori yang hendak membelok ke simpang di sebelah kiri jalan.

"Selepas perlanggaran itu, pemandu lori dikepung orang kampung menyebabkan dia mengundurkan lori seterusnya melanggar sebuah lagi motosikal serta sebuah kereta.

"Suspek mengalami kecederaan di kepala, leher, muka, belakang badan serta di tangan dan kaki dipercayai dipukul orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu dibawa ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, penunggang motosikal yang patah tangan dan cedera di kaki sudah mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Banting.

"Dua lagi mangsa iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saksi bebas sudah dikesan untuk membantu siasatan dan lokasi kemalangan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 (perlanggaran pertama) dan Seksyen 42(1) APJ 1987 (perlanggaran kedua).

Disiarkan pada: March 10, 2021 @ 11:15am
d