mutakhir

Sampai polis terpaksa paut pada kenderaan [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Bangi: Seorang anggota polis terpaksa 'memanjat' bahagian hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kenderaan itu dalam kejadian di tempat letak kereta restoran makanan segera di Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 3.04 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bandar Baru Bangi melakukan rondaan di kawasan berkenaan 10.30 malam.

"Anggota bertugas kemudian terserempak dengan kenderaan dalam keadaan mencurigakan yang diparkir dengan enjin dihidupkan.

"Mereka menghampiri kenderaan berkenaan dan cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh ke dalam serta mengetuk cermin kenderaan yang dinaiki seorang lelaki serta seorang wanita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, sebaik pasangan itu menyedari kehadiran anggota polis yang mengarahkan mereka keluar, lelaki yang memandu kenderaan berkenaan cuba melarikan diri dan melanggar motosikal serta anggota yang berada di hadapan MPV terbabit.

"Ekoran itu, seorang anggota yang berada di hadapan kenderaan itu terpaksa berpaut dalam keadaan ia bergerak dengan jarak kira-kira 150 meter sebelum dia berjaya melepaskan diri.

"Anggota yang terbabit dalam kejadian ini sudah menggunakan segala usaha dan tindakan yang perlu untuk memberhentikan kenderaan berkenaan, namun suspek terus melarikan diri ke arah Jalan Persiaran Jaya Bandar Baru Bangi.

"Susulan itu, anggota terbabit mengalami cedera ringan dan motorsikal yang ditunggangnya dilaporkan rosak," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengesan suspek yang melarikan diri susulan anggota bertugas dapat mengecam nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

"Bertindak atas maklumat itu, kami menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 19 dan 20 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini.

"Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dilakukan di Mahkamah Bandar Baru Bangi, hari ini, untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186/307/332 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, satu video berdurasi 40 saat menunjukkan kejadian itu tular di media sosial.

Dalam rakaman itu, seorang anggota polis juga dilihat berpaut pada bahagian hadapan MPV terbabit yang sedang bergerak.

Pemandu MPV terbabit turut dilihat memecut kenderaan dan melanggar kon di laluan berkenaan.

Disiarkan pada: March 10, 2021 @ 11:37am
d