mutakhir

Tali pinggang belakang: Pengguna amal sikap sambil lewa

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: 'Seperti melepaskan batuk di tangga'. Itu perumpamaan sesuai menggambarkan sikap sambil lewa pengguna jalan raya terhadap pematuhan pemakaian tali pinggang belakang atau tempat duduk penumpang.

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Datuk Surjet Singh berkata, biarpun penguatkuasaan peraturan itu sudah lebih sedekad sejak Januari 2009, namun pengguna jalan raya masih alpa mengenai kepentingan penggunaan tali pinggang penumpang di belakang.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan, kadar pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dalam kalangan pengguna jalan raya Malaysia masih di tahap amat rendah iaitu sekitar 11 peratus.

"Mengikut kajian, sekiranya pemandu dan penumpang kenderaan terbabit nahas jalan raya, risiko kematian dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus tanpa beg udara dan meningkat hingga 80 peratus kalau digunakan bersama tali pinggang," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata, berdasarkan kadar kepatuhan itu, satu Pelan Strategik Pembudayaan Pemakaian Tali Pinggang Keledar Belakang telah dibangunkan sebagai langkah permulaan mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemakaiannya secara berperingkat.

"Pelan ini diluluskan lembaga pengarah Miros dan sepatutnya dilaksanakan bermula tahun lalu hingga 2022 namun ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19.

"Miros akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam memastikan pelan ini dapat diperkasa," katanya.

Surjet berkata, pihaknya optimis akan mencapai sasaran 95 peratus tahap penggunaan tali pinggang keledar belakang pada tahun 2022, sekali gus menjadikannya budaya dalam kalangan pengguna jalan raya.

Undang-undang pemakaian tali pinggang belakang berkuat kuasa pada 1 Januari 2009 melalui Kaedah-kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar)(Pindaaan 2008) dan pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, pelbagai pendekatan akan dilaksanakan oleh Miros daripada peringkat sekolah hingga agensi awam dan swasta dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Dalam pelan ini juga, kita akan menjadikan pegawai tertinggi kerajaan sebagai suri teladan kerana itu adalah aspirasi daripada Ketua Setiausaha Negara sendiri," katanya.

Pada 1 November 2020, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menandatangani pekeliling Kempen Pemakaian Tali Pinggang Keledar dengan mewajibkan pegawai kerajaan memakai tali pinggang keledar ketika menaiki kenderaan milik kerajaan.

Disiarkan pada: March 11, 2021 @ 5:06pm
d