mutakhir

Premis judi kerap tukar jenis perniagaan kaburi mata polis [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Dua pekerja yang sedang leka menjalankan aktiviti judi nombor ekor ditahan ketika serbuan di sebuah premis barangan logam di Jalan Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an itu ditahan ketika operasi pemotongan elektrik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di lima premis dikenal pasti menjalankan judi dalam talian di sekitar Ipoh.

"Premis itu sudah banyak kali diserbu, tetapi ketika kami menjalankan operasi pemotongan elektrik hari ini, mereka didapati leka menjalankan aktiviti perjudian itu dan kedua-duanya ditahan untuk diambil keterangan.

"Kami sedang menjalankan siasatan dan sekiranya mengetahui penganjur kegiatan ini dengan bukti yang ada ini sama ada dituduh di mahkamah dan failkan untuk mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959," katanya yang ditemui ketika menyertai operasi berkenaan, hari ini.

A Asmadi berkata, dalam serbuan hasil risikan dan maklumat orang awam itu, empat premis dikesan menjalankan kegiatan judi nombor ekor dan satu premis judi dalam talian.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan peruntukan mengikut Seksyen 21 A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan pemotongan bekalan eletkrik dilakukan dengan kerjasama pihak TNB terhadap kelima-lima premis terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati premis yang sudah beroperasi lima hingga enam bulan itu menggunakan modus operandi berubah-ubah jenis perniagaan selain berpindah-randah.

"Modus operandi berubah-ubah, sebelum ini kami dapati mendapati mereka menggunakan kedai telefon atau tambah nilai, tetapi kemudian ia menjual hardware, kabinet kilang dan semalam kami menyerbu di kedai menjual pakaian dan peralatan sembahyang.

"Jadi dapat bayangkan bagaimana cabaran pihak polis membanteras kegiatan ini, tetapi dengan kerjasama masyarakat di luar sana kita akan terus berusaha untuk memastikan aktiviti ini dapat kita kekang sehingga ke akar umbi," katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2021 @ 8:48pm
d