mutakhir

Sanggup lawan arus panik nampak polis

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Panik melihat anggota polis membuat sekatan menyebabkan ada penunggang motosikal sanggup membahayakan diri dengan melawan arus bagi melarikan diri, hari ini.

Bagaimanapun, ada antara mereka gagal melarikan diri sebelum ditahan anggota polis trafik dalam Operasi Bersepadu Khas Bunyi Ekzos Bising di lorong motosikal Kilometer 29.3 Lebuhraya Persekutuan arah ke Klang, di sini.

Malah, mereka yang ditahan selepas cuba melarikan diri turut diarah menolak motosikal beberapa meter ke lokasi operasi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, operasi bermula 5 petang itu diadakan bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas).

Beliau berkata, sebanyak 436 motosikal diperiksa dengan 138 keping saman dikeluarkan.

"Pecahan kesalahan saman membabitkan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi (67 saman), gagal tunjuk lesen (6), ekzos bising (21), tiada insurans (2), tiada cermin sisi (11) Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (3) dan satu tidak pamer pelekat P.

"Sementara itu, sebanyak 19 motosikal disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sementara JPJ mengeluarkan 47 saman atas pelbagai kesalahan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan dibuat ke atas kenderaan yang mengguna atau mengubahsuai ekzos mengeluarkan bunyi bising.

Terdahulu dalam operasi itu masih ada keluarga yang tidak menjaga keselamatan anak mereka apabila membawa anak kecil menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar.

Disiarkan pada: March 12, 2021 @ 10:20pm
d