mutakhir

Anugerah SPMM suntik semangat AJK masjid

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Kemenangan ini menyuntik semangat saya untuk terus menjalankan amanah, setidak-tidaknya sehingga penggal jawatan ini tamat, tahun depan.

"Program mengimarahkan masjid ini tidak akan berhenti dan akan diteruskan. Terima kasih kepada kerjasama semua anak kariah, jawatankuasa masjid yang menjalankan pelbagai aktiviti sebelum ini," kata Pengerusi Masjid Al-Idrisiah Bukit Bertam, Perak, Mohd Najib Ahmad.

Beliau berkata, kejayaan merangkul Anugerah Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) Anugerah Masjid Malaysia 2020, hari ini melakar sejarah tersendiri.

Menurutnya, semangat untuk menjadikan masjid sebagai tempat pembudayaan ilmu serta pusat aktiviti di kariah itu menjadikan rumah ibadat itu mendapat tempat di hati jemaah.

Katanya, sebelum ini masjid berkenaan pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Anugerah Pengurusan Terbaik Masjid Bestari Negeri Perak tahun lalu dan Anugerah Hammam Tandas Lima Bintang Peringkat Negeri Perak, dua tahun lalu.

"Sebenarnya bukan mudah untuk melepasi 591 indikator ditetapkan, namun saya bersyukur kerana terpilih antara 28 masjid terbaik di seluruh negara.

"Kalau diikutkan, Biro Hal Ehwal Wanita masjid memainkan peranan dengan program gotong-royong setiap Selasa untuk mengimarahkan masjid ini," katanya.

Pada majlis itu, Masjid Sharifah Fatimah di Batu 13, Kemunting, Mukim Gelong, Jitra, Kedah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Standard Penarafan Masjid Malaysia 2020.

Pemenang utama membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, masjid di seluruh negara boleh menjadikan masjid di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai contoh dalam aktiviti pengimarahan.

Beliau berkata, sebagai pusat ilmu, ekonomi dan sosial, masjid memainkan peranan penting dalam kehidupan.

"Lihat saja ramai ulama dari dulu lagi sampai mutakhir ini yang tersohor hasil hubungan dengan masjid.

"28 masjid yang diumumkan menang pada hari ini boleh menjadi teladan yang baik," katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2021 @ 11:24pm
d