mutakhir

KPDNHEP buat penilaian kesan bekalan telur

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membuat penilaian kesan ke atas bekalan telur di pasaran domestik susulan arahan kerajaan Singapura menarik balik telur yang diimport dari empat syarikat dari Malaysia.

KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, penilaian itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan dakwaan penemuan Somanella Enteritidis (SE) seperti yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.

Menurutnya, arahan penarikan semula bekalan telur itu bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga atas kepentingan kawalan keselamatan dan kualiti makanan.

"Setiap kementerian sedang bertindak mengikut bidang kuasa di bawah kementerian masing-masing.

"Fokus tindakan di bawah KPDNHEP adalah pemantauan rapi terhadap kedudukan bekalan telur di pasaran susulan daripada isu penemuan itu," katanya.

Katanya, pemantauan bekalan dipertingkatkan di setiap rantaian pengedaran dan pembekalan telur untuk mengesan kawasan-kawasan yang dijangka terjejas keberadaan bekalan telur.

"KPDNHEP juga mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dalam kalangan penelur dan pengeluar ayam dalam negara untuk siap siaga menjalankan proses pengeluaran bekalan telur untuk menampung sebarang risiko gangguan bekalan telur dalam negara sekiranya berlaku.

"Pengguna dinasihatkan tidak panik dengan situasi ini. KPDNHEP memerlukan kerjasama pengguna untuk berhemah dalam membuat pembelian dan tidak menyumbang kepada gangguan keberadaan bekalan telur disebabkan mencipta situasi pembelian panik," katanya.

Menurutnya, KPDNHEP ingin memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dengan menjadikan alasan menaikkan harga.

"Peniaga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan/syarikat dan bagi bukan perbadanan/ individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2021 @ 10:46pm
d