mutakhir

Isu telur: KPDNHEP jalankan penilaian kesan

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat penilaian kesan terhadap bekalan telur di pasaran domestik dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia susulan arahan Singapura untuk empat pengimport menarik balik telur oleh sebuah syarikat Malaysia.

Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, dalam satu kenyataan malam tadi, berkata kementerian itu maklum dengan arahan itu, yang dikeluarkan Singapura kepada empat pengimportnya susulan dakwaan penemuan Somanella Enteritidis (SE) seperti yang dilaporkan oleh media semalam.

Kenyataan itu menyebut, arahan penarikan semula bekalan telur itu bertujuan berjaga-jaga atas kepentingan kawalan keselamatan dan kualiti makanan.

"Setiap Kementerian sedang bertindak mengikut bidang kuasa di bawah Kementerian masing-masing.

"Fokus tindakan bawah KPDNHEP adalah pemantauan rapi terhadap kedudukan bekalan telur di pasaran susulan daripada isu penemuan itu.

"Pemantauan bekalan dipertingkatkan di setiap rantaian pengedaran dan pembekalan telur untuk mengesan kawasan-kawasan yang dijangka terjejas keberadaan bekalan telur," katanya.

Selain itu, kenyataan itu menyebut, KPDNHEP juga mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dalam kalangan penelur dan pengeluar ayam dalam Negara untuk siap siaga menjalankan proses pengeluaran bekalan telur untuk menampung sebarang risiko gangguan bekalan telur dalam Negara sekiranya berlaku.

Justeru, katanya, pengguna dinasihatkan tidak perlu merasa panik dengan situasi itu.

Selain itu, kenyataan itu menyebut, pihak KPDNHEP mengharapkan kerjasama pengguna untuk membeli secara berhemah dan tidak menyumbang kepada gangguan keberadaan bekalan telur disebabkan pembelian panik.

"KPDNHEP ingin memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dengan menjadikan alasan menaikkan harga.

"Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan/syarikat dan bagi bukan perbadanan/ individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sebarang maklumat aduan berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang bawah bidang kuasa KPDNHEP boleh disalurkan secara rasmi melalui portal e-aduan.kpdnhep; pusat panggilan di talian 1-800-886-800; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; aplikasi Ez ADU KPDNHEP; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di talian 03-8882 6088/6245 serta melalui aplikasi Whatsapp ke nombor 019-279 4317.

Disiarkan pada: March 14, 2021 @ 9:10am
d