mutakhir

Tabung Khas Hakmilik Strata bantu selesai isu pemilikan bangunan khas

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan sudah menubuhkan Tabung Khas Hakmilik Strata bagi membantu menyelesaikan isu pemilikan bangunan lama berstrata yang dikenali bangunan khas di Semenanjung Malaysia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata penubuhan tabung itu juga bagi membantu pemilik rumah bangunan khas terutamanya golongan B40 menemui jalan penyelesaian pemilikan berstrata kediaman masing-masing.

"Antara manfaat penubuhan Tabung Khas Hakmilik Strata ialah membantu pembeli kediaman bangunan khas terutamanya bagi kediaman yang berkategori kos rendah untuk mendapatkan hak milik strata.

"Selain itu, penyelesaian pendaftaran hak milik strata bagi bangunan khas akan memudahkan urus niaga hartanah bangunan khas, serta urusan pembahagian harta pusaka oleh waris kepada pembeli kediaman yang telah meninggal dunia juga dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya pemilikan berstrata diselesaikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shamsul Anuar, pendaftaran hak milik strata turut memastikan buku daftar strata dibuka dan perbadanan pengurusan dapat ditubuhkan bagi membolehkan pengurusan dan pentadbiran bangunan kediaman berstrata dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau berkata bangunan khas adalah bangunan yang tiada dokumen Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC)/Sijil Layak Menduduki (CF) dan telah diduduki sebelum Jun 1996 (perakuan automatik), atau dari Jun 1996 hingga 11 April 2007 (perakuan daripada Pihak Berkuasa Negeri).

Katanya, kegagalan permohonan hak milik strata bangunan khas disebabkan pemilik asal atau pemaju telah tiada atau digulung, dan skim perumahan tersebut mempunyai masalah kewangan untuk memohon hak milik strata walaupun dalam keadaan pelikuidasi telah dilantik.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Jurukur Tanah Malaysia adalah penyumbang pertama Tabung Khas Hakmilik Strata berjumlah RM2 juta dan ia diperuntukkan bagi penyelesaian hak milik strata kepada empat skim.

Skim itu merangkumi Pangsapuri Shangri-La, Taman Seri Cheras, Selangor; Taman Indah Fasa 1, Pulau Pinang; Pangsapuri Taman Tap, Teluk Intan, Perak; dan Taman Permai Ria Blok 24 & 26 di Kuala Lumpur.

"Sumbangan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia kepada Tabung Khas Hakmilik Strata diharap dapat menjadi pemangkin kepada badan-badan korporat untuk menyumbang bagi membantu penduduk rumah kos rendah mendapatkan hak milik strata," katanya.

Shamsul Anuar berkata tabung khas itu juga boleh menerima peruntukan daripada kerajaan serta sumbangan daripada mana-mana pihak sama ada perseorangan, swasta, institut atau entiti dari dalam dan luar negara.

Katanya, penyumbang boleh mendapat penolakan cukai 100 peratus secara terus mengikut subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Disiarkan pada: March 15, 2021 @ 4:47pm
d