mutakhir

Saman pembeli, peniaga di lampu isyarat mula minggu ini

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Polis Kelantan akan mengeluarkan saman terhadap pembeli dan peniaga yang menjalankan aktiviti menjaja di lampu isyarat bermula minggu ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengeluarkan saman kepada peniaga serta pembeli dan mereka boleh dihadapkan ke mahkamah dan didenda sehingga RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

Katanya, pihaknya sebelum ini sudah memberi nasihat kepada semua peniaga yang menjalankan aktiviti menjaja di lampu isyarat supaya tidak meneruskannya bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.

"Kami memandang serius akan perkara ini kerana ia menyalahi undang-undang lalu lintas.

"Bermula minggu ini, kami akan memastikan tidak ada lagi peniaga yang menjalankan aktiviti menjaja di lampu isyarat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mernurutnya, tindakan boleh diambil terhadap pembeli dan peniaga di lampu isyarat mengikut Akta Lalulintas Jalan Raya dan tindakan boleh dikenakan di bawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pengguna jalan raya berdepan saman berjumlah RM2,000 jika didapati bersalah membeli produk yang dijual peniaga di kawasan lampu isyarat kerana tindakan itu adalah satu kesalahan.

Disiarkan pada: March 16, 2021 @ 3:29pm
d