mutakhir

Pokok ikonik depan Stadthuys tumbang [METROTV]

Oleh Amir Mamat

Melaka: Pokok ikonik jenis kekacang atau nama sebenarnya pokok Batai Laut berusia kira-kira 120 tahun yang ditanam di hadapan bangunan Stadthuys (Rumah Merah) di Banda Hilir, di sini, tumbang hari ini.

Keadaan itu dikatakan berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang, malam tadi menyebabkan akar pokok berkenaan membongkah lalu merebahkan tanaman dengan nama saintifiknya 'Peltophorum Pterocarpum.'.

Pokok setinggi 18 meter dan berdiameter kira-kira 1.5 meter yang ditanam berhampiran Jam Besar itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan struktur bangunan.

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dalam tindakan melakukan kerja pembersihan sejak pagi tadi yang dijangka siap petang ini.

Sehubungan itu, katanya, MBMB akan menanam semula pokok jenis yang sama bagi menggantikan pokok yang tumbang itu.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Unit First Responce Team' (​FRONT) MBMB sudah berada di lokasi kejadian sejak awal pagi tadi bagi tujuan keselamatan awam dan kawalan lalulintas.

"Rata-rata warga bandaraya menyatakan perasaan sedih di atas kehilangan pokok warisan yang banyak sejarah dan nostalgia ini," katanya.

Pokok Batai Laut itu dikatakan ditanam di sepanjang gigi air Selat Melaka sebagai simbolik sempadan kawasan sebelum tambakan laut dilakukan khususnya di kawasan Bandaraya Melaka.

Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 1:40pm
d