mutakhir

Taman Angry Birds di Johor Bahru ditutup 5 April ini

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Taman Aktiviti Angry Birds di bangunan Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) akan ditutup pada 5 April ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di laman Facebook (FB) Angry Birds Activity Park Johor Bahru semalam.

Selepas beroperasi sejak enam tahun lalu, difahamkan, penutupan taman tema tertutup itu disebabkan kesan pandemik Covid-19.

"Dukacita dimaklumkan Angry Birds Activity Park Johor Bahru akan menutup tirai operasi kami secara rasmi pada 5 April ini.

"Segala sokongan dan pengalaman enam tahun yang menakjubkan bersama anda amat kami hargai," kata kenyataan itu.

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata mereka terkejut dengan penutupannya.

"Antara taman park yang terbaik kat Johor Bahru. Kali terakhir kami pergi tahun 2019. Staf yang sangat baik dan tempat yang sangat seronok. Semoga satu hari nanti bole dibuka semula. Terima kasih Angry Birds. Kami akan merinduimu," komen pemilik FB dikenali sebagai Aini Daiela.

"Hmmm...Sedih tiga tahun berturut-turut sebelum Covid-19, nyebrang dari Indonesia ke Johor cuma nak pegi bawa anak main ke angry, rencana setelah pandemik nak berkunjung lagi, semoga ada pencerahan dan bisa buka lagi. Tempat paling sedap buat anak-anak main :disappointed_relieved:," komen 'Noven Novra Silvia'.

Taman tema Angry Birds ini adalah yang pertama di Asia Tenggara dan mula beroperasi pada 31 Oktober 2014.

Taman tema berkeluasan 26,000 kaki persegi itu menawarkan permainan dan ruang bukan saja untuk kanak-kanak malah untuk dewasa.

Taman tema ini boleh menampung seramai 400 pengunjung dalam satu-satu masa dan dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti 'Danger Zone', 'Utopia', 'Classic' dan 'South Beach'.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 1:52pm
    d