mutakhir

Pemilik lori didenda RM60,000 lepaskan asap hitam

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Seorang pemilik sebuah lori jenis kargo didenda RM60,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini kerana melepaskan asap hitam dengan ketumpatan melebihi had maksimum.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan memaklumkan, denda berkenaan dijatuhi Hakim Jamaludin Mat selepas tertuduh selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Katanya, tertuduh berusia 50 tahun itu didakwa melepaskan asap hitam dengan ketumpatan sebanyak 99.9 peratus melebihi daripada had ketumpatan maksimum yang dibenarkan iaitu 50 peratus pada 31 Oktober 2019.

"Menurut pertuduhan, pada 31 Oktober 2019, bertempat di Plaza Tol Sunway, Lebuhraya KESAS, pemilik kenderaan didapati melepaskan pencemar ke udara iaitu asap hitam daripada paip ekzos kenderaan dengan ketumpatan sebanyak 99.9 peratus iaitu satu tahap yang melebihi had ketumpatan maksimum asap yang dibenarkan iaitu sebanyak 50 peratus mengikut Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.

"Justeru, OKS didapati melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 22(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(3), Akta yang sama.

"Jika disabitkan kesalahan, OKS boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, JAS Selangor sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

"Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my (https://eaduan.doe.gov.my/)," katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 7:15pm
d