mutakhir

Maqis awasi import telur dari Singapura

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) tidak akan mempertimbangkan permohonan pengimportan semula barangan pertanian khususnya telur yang sudah terkontaminasi dengan bakteria Salmonella enteriditis (SE) oleh pihak Berkuasa Singapura.

Maqis dalam kenyataan media memaklumkan, jabatan itu akan memastikan pegawai di lapangan memantapkan lagi pemeriksaan supaya kebarangkalian untuk telur ini diimport semula tidak akan berlaku.

Menurutnya, kerjasama strategik dan operasi bersepadu Maqis akan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan kawalan import komoditi pertanian dapat diperkukuhkan.

"Maqis mengambil maklum berkenaan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada Ahad lalu berkaitan pengesanan kehadiran bakteria SE pada konsainan telur eksport dari Malaysia," katanya hari ini.

Singapura sebelum ini mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram di Malaysia.

Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam kenyataan memaklumkan, arahan itu dibuat berikutan penemuan SE pada produk terbabit yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.

Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 10:11pm
d