mutakhir

Pesara guru nafi cedera kucing [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pesara guru mengaku dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seekor kucing pada November tahun lalu.

Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibaca di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Cosmos Chong Say Hun, 79, secara tidak munasabah membaling sebatang besi tajam sepanjang 1.06 meter (3.5 kaki) hingga mencederakan dan menyebabkan penderitaan ke atas seekor kucing betina berwarna putih tompok hitam.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di halaman rumah bernombor 16, Lengkok Tembaga, Island Park dekat Georgetown pada jam 6.40 petang, 15 November tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) Akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh dibebaskan tanpa dikenakan wang jaminan dan mahkamah menetapkan 19 April depan bagi sebutan semula kes.

Kes dikendali Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh diwakili peguam Simon Murali.

Disiarkan pada: March 18, 2021 @ 1:14pm
d