mutakhir

SUV meluncur ke dalam tali air bersama bayi

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila melihat kenderaannya tiba-tiba bergerak dan meluncur ke dalam tali air di Kampung Pohon Nibong, di sini, semalam.

Lebih panik apabila bayi lelakinya yang berusia setahun enam bulan turut berada dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier berkenaan.

Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, bapa lelaki terbabit yang ingin dikenali sebagai Zakaria, 60-an berkata, sebelum kejadian, anaknya memandu keluar kenderaan itu dari sebuah stor di sebelah rumah mereka.

"Dalam keadaan enjin masih terpasang dan gear 'N', dia keluar dari kenderaan untuk menutup pintu stor manakala bayi lelakinya berada di tempat duduk hadapan SUV berkenaan.

"Bagaimanapun, kenderaan itu tiba-tiba bergerak dan perlahan-lahan meluncur ke dalam tali air yang terletak hanya beberapa meter sahaja di hadapan rumah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zakaria berkata, dalam keadaan cemas, anak lelakinya yang berusia 30-an itu menjerit meminta pertolongan, sebelum penduduk kampung dan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang bertugas di pos kawalan tidak jauh dari lokasi kejadian memberi bantuan.

Katanya, memandangkan keadaan kenderaan yang separuh terjongket, anggota PGA berjaya membuka pintu kereta untuk mengeluarkan cucunya tanpa perlu memecahkan cermin.

"Syukur Alhamdulillah, cucu dapat diselamatkan. Kereta itu pula dikeluarkan menggunakan kren dan mengalami sedikit kerosakan," katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2021 @ 4:19pm
d