mutakhir

Jururawat meninggal dunia akibat serangan jantung

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Seorang jururawat di sini, meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Bandar Seri Astana di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, wanita berusia 45 tahun itu juga mempunyai rekod penyakit darah tinggi dan pihaknya dimaklumkan kematian berkenaan oleh seorang pegawai perubatan pada jam 2.45 pagi.

"Temubual dengan suami wanita itu memaklumkan, isterinya berkhidmat hampir 20 tahun dan bertugas di wad unit rawatan intensif neonatal (NICU) Hospital Pulau Pinang.

"Dia ada menerima suntikan vaksin Covid-19 di tempat kerja pada 12 Mac lalu dan mengadu lenguh badan, sehingga Selasa lalu masih mengadu sakit di seluruh badan dan sesak nafas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, pada malam kejadian, jururawat terbabit memberitahu kepada suaminya dia mahu berehat dan masuk ke bilik tidur pada 11.30 malam.

"Namun pada 2 pagi, ketika suami masuk ke bilik dan cuba mengejutkan isterinya, tiada sebarang tindak balas daripada wanita berkenaan.

"Pemeriksaan pada nadi wanita itu juga mendapati tiada denyutan dan suaminya menghubungi pihak Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini," katanya yang memberitahu pemeriksaan pasukan perubatan mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, tular di media sosial laporan kematian jururawat itu yang didakwa selepas pengambilan vaksin Covid-19.

Disiarkan pada: March 18, 2021 @ 5:23pm
d