mutakhir

Koperal polis maut terseret 100 meter

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Gombak: Seorang anggota polis maut selepas terseret kira-kira 100 meter akibat dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di kilometer 13.6 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), hari ini.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, Koperal Abdul Hisham Sahi, 56 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Gombak, Asisten Kimisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam perjalanan menghala Batu Caves.

"Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta Proton Gen 2 melanggar belakang motosikal mangsa menyebabkan motosikal terseret bersama mangsa sejauh 100 meter ke arah kiri jalan.

"Kereta yang terbabit dalam kejadian itu melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gombak berjaya menahan suspek lelaki berusia 35 tahun di hadapan sebuah permis di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.

"Polis merampas kereta jenis Proton Gen 2 berwarna merah yang dipercayai terbabit dalam kemalangan berkenaan.

"Suspek dibawa ke Hospital Selayang untuk pengambilan sampel air kencing dan darah serta akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang esok bagi permohonan tahanan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2021 @ 7:06pm
d