mutakhir

Isu kartel PDRM: Perlu laporan penuh

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Laporan penuh diperlukan agar selepas ini perkara yang diumumkan kepada rakyat lebih jelas, tidak samar-samar atau menimbulkan persepsi yang kurang baik," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada pegawai muda untuk menjatuhkannya demi melakukan kerja kotor.

Hamzah berkata, beliau sudah menghubungi Abdul Hamid berhubung perkara itu, semalam dan meminta supaya Abdul Hamid melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk siasatan.

"Saya sebagai Menteri tidak dimaklumkan awal (sebelum pengumuman Abdul Hamid), jadi semalam saya sudah pun menghubunginya dan meminta beliau menyediakan laporan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin KDN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau berharap dengan laporan itu akan memberi penjelasan yang lebih baik kepada rakyat dan tiada salah faham.

Semalam Abdul Hamid Bador dilapor berkata terdapat gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.

Namun, Hamzah yang juga Pengerusi SPP berkata, itu pertama kali beliau mendengar ada kartel dalam PDRM dan Abdul Hamid tidak pernah membawa isu itu kepada SPP.

Disiarkan pada: March 19, 2021 @ 3:28pm
d