mutakhir

Lelaki ditahan siar filem tanpa kebenaran di Telegram

Oleh SamadiAhmad

Putrajaya: Seorang lelaki ditahan semalam selepas disyaki menyiarkan karya filem tanpa kebenaran pemilik hak cipta melalui aplikasi Telegram.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, serbuan diadakan bersama pemilik hak cipta di sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan hasil risikan kira-kira dua minggu dan maklumat pemilik hak cipta.

Beliau berkata, lelaki berusia 45 tahun itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987.

"KPDNHEP turut merampas beberapa barangan milik suspek termasuk barangan peralatan komunikasi dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM5,000," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, pemeriksaan itu membabitkan seramai lima orang anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya dan wakil pemilik hak cipta.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Pada masa sama, Azman turut menasihati orang ramai supaya tidak berkongsi atau mengedarkan mana-mana karya hak cipta termasuk filem, lagu, buku berbentuk digital dan sebagainya di mana-mana medium internet termasuk melalui media sosial tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

Katanya, Kementerian itu memandang serius isu berkenaan walaupun ia hanya dibuat sekadar untuk berseronok.

Beliau berkata, pengguna juga disarankan menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan cetak rompak melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau WhatsApp di talian 019-279 4317 atau di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

Disiarkan pada: March 20, 2021 @ 10:13am
d