mutakhir

Loji kumbahan punca Sungai Kim Kim kehitaman, busuk

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pencemaran terbaharu Sungai Kim Kim di sini, yang airnya bertukar hitam dan berbau busuk dikenal pasti berpunca dari loji kumbahan terbiar yang terletak di Taman Cendana, Pasir Gudang.

Punca pencemaran terbaharu Sungai Kim Kim itu didedahkan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang yang menyusur sungai berkenaan bagi mengesan sebab air sungai berkenaan bertukar kehitaman dan berbau busuk.

Menurutnya, beliau menyusur denai Sungai Kim Kim sejauh tiga kilometer sebelum menemui sebuah loji kumbahan terbiar di kawasan lembah di Taman Cendana.

"Siasatan lanjut dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan sumber yang menyebabkan air Sungai Kim Kim hitam, dikenal pasti sebagai tompokan enap cemar kumbahan yang baharu (raw sewage sludge).

"Apabila hujan, tompokan enap cemar berkenaan melimpah keluar ke kawasan paya berhampiran sebelum mengalir ke Sungai Kim Kim sehingga membuatkan air sungai itu bertukar kehitaman dan berbau busuk," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, KASA akan mengambil alih loji kumbahan terbiar berkenaan bagi memastikan limpahan air kumbahan tidak lagi mencemari Sungai Kim Kim atau sungai berhampiran.

"Akan ada proses naik taraf bagi membolehkan air kumbahan loji itu tidak lagi menjadi punca pencemaran," katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2021 @ 8:16pm
d