mutakhir

RM30 juta bina masjid, poliklinik di Kem Seri Pantai

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi dua projek pembangunan infrastruktur Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) di Kem Seri Pantai, Seberang Takir di sini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan pembinaan sebuah poliklinik kesihatan bernilai RM25 juta yang bakal memberi manfaat kepada warga tentera dan masyarakat setempat.

Menurutnya, projek yang sudah bermula pada Januari lalu akan dilengkapi kemudahan seperti klinik tentera, klinik keluarga, jabatan kecemasan, bilik X-ray dan sebuah makmal.

"Projek kedua pula adalah membina sebuah masjid baharu membabitkan kos kira-kira RM5 juta.

"Projek pembinaan masjid ini sudah lima peratus berjalan dan ia mampu menampung 1,000 jemaah dalam kalangan anggota dan masyarakat awam luar kem.

"Dua projek ini bukan untuk anggota sahaja tetapi masyarakat setempat apabila ia siap nanti, kita akan bina pagar khusus sebagai laluan ke poliklinik kesihatan dan masjid bagi memudahkan orang awam, " katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Batalion Ke-18 RAMD (Para), Kem Seri Pantai hari ini.

Dalam lawatan itu, Ismail Sabri turut menziarahi dua waris dan seorang anggota Batalion Ke-18 RAMD (Para) yang mengalami keuzuran.

Menurutnya, kerajaan turut bersetuju menaik taraf 12 blok rumah anggota tentera di kem berkenaan yang sudah uzur memandangkan ia dibina pada sekitar 1970-an.

Katanya, setakat ini sebanyak 48 unit rumah sudah dinaiki taraf, manakala baki 196 unit lagi akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas peruntukan berjumlah RM11 juta diluluskan kerajaan.

"Dulu polisi yang dibuat adalah rumah dua bilik tetapi sekarang polisi baharu kementerian, rumah mestilah sekurang-kurangnya tiga bilik, tiada lagi dua bilik.

"Kita akan naik taraf rumah daripada dua unit menjadi satu unit selain akan menaik taraf dewan sedia ada," katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2021 @ 8:34pm
d