mutakhir

Dakwa konspirasi musnah hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Apa yang dilakukan kerajaan Malaysia dengan mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara yang menetap di negara ini ke Amerika Syarikat (AS) tidak boleh dimaafkan," kata Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia Kim Yu Song.

Beliau mendakwa insiden itu adalah konspirasi anti Korea Utara yang diwujudkan oleh AS untuk menindas rakyatnya.

Beliau turut menuduh kerajaan Malaysia secara membuta tuli menyerahkan seorang rakyat Korea Utara yang tidak bersalah kepada AS yang dianggap musuh oleh negaranya.

"Tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia membuktikan negara ini mempunyai kaitan dengan gerakan anti Korea Utara yang digerakkan oleh AS di mana menjatuhkan kedaulatan dan hak negara Korea Utara.

"Ini memusnahkan hubungan dua hala antara Korea Utara dan Malaysia yang dibina berasaskan kehormatan dan kedaulatan," katanya ketika ditemui pemberita sebelum beredar meninggalkan premis Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Damansara, di sini, hari ini.

Bangunan kedutaan itu sudah dikosongkan kira-kira jam 11 pagi tadi, apabila kesemua pegawai dan kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara dilihat meninggalkan premis itu dengan menaiki bas persiaran menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut, Yu Song berkata, tindakan mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara itu mendesak Kementerian Hubungan Luar Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Katanya, Malaysia bertanggungjawab atas segala kesan susulan ketegangan diplomatik yang timbul antara dua negara.

Pada Jumaat lalu, kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Tindakan itu diambil selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini.

Malah, Malaysia amat kecewa dengan keputusan yang dibuat Korea Utara dan menyifatkannya sebagai tindakan tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat setiakawan sebagai anggota komuniti antarabangsa.

Terdahulu, Chol Myung ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 susulan waran tangkap mengikut Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992 atas dakwaan konspirasi penggubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Proses ekstradisi dibuat selepas semua proses undang-undang diikuti, malah hak Chol Myung ketika dalam tahanan di Malaysia turut dijamin dan dipenuhi termasuk akses kepada peguam serta lawatan oleh ahli keluarganya.

Disiarkan pada: March 21, 2021 @ 1:25pm
d