mutakhir

Kadar pengangguran pulih menjelang pertengahan tahun

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kerajaan yakin kadar pengangguran di negara ini susulan pandemik Covid-19 semakin pulih menjelang pertengahan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehingga Januari, kadar pengangguran berkurangan kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mei tahun lalu.

Katanya, pengangguran itu membabitkan 782, 500 penganggur iaitu mereka yang tidak mempunyai pekerjaan langsung.

"Jumlah pengangguran itu disebabkan kesan pandemik Covid-19 terutama membabitkan sektor pelancongan memandangkan sempadan ditutup dan tiada penerbangan antarabangsa.

"Sektor pelancongan memberi kesan besar kepada ekonomi negara. Ini semua disebabkan kesan Covid-19 dan juga darurat ekonomi.

"Namun kita yakin keadaan ini semakin pulih menjelang pertengahan tahun ini," katanya

pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin Sesi Bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di JPM (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Menteri dan Timbalan Menteri dari Kelantan menubuhkan Majlis Bersama Pembangunan Negeri Kelantan bertujuan menyelaras pembangunan di negeri ini.

Katanya, Majlis Bersama Pembangunan Negeri Kelantan itu disertai Menteri, Timbalan Menteri dari negeri ini bersama-sama Menteri Besar dan Exco negeri bertujuan mengadakan rundingan untuk menyelaraskan pembangunan di seluruh negeri.

Disiarkan pada: March 21, 2021 @ 7:34pm
d