mutakhir

Terpaksa tembak tayar

Oleh Togi Marzuki

Pontian: Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar sebuah lori dipandu secara berbahaya ketika dikejar sejauh 30 kilometer di Jalan Simpang Renggam-Benut semalam.

Dalam kejadian jam 7.19 malam itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Cawangan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang terserempak sebuah lori tiga tan dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan Kampung Parit Ismail, Simpang Renggam dan menghampiri untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, menyedari kehadiran polis, lelaki berusia 22 tahun yang memandu lori berkenaan memecut kenderaan itu untuk melarikan diri.

Katanya, ketika dikejar mengejar suspek memandu secara agresif dan hampir melanggar beberapa kenderaan awam di Jalan Parit Makasar.

"Anggota terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori berkenaan apabila pemandu berdegil tidak mahu berhenti dan memandu secara berbahaya.

"Lori berkenaan terus dikejar sehingga ke persimpangan lampu isyarat Taman Megah, Pontian sebelum tiba-tiba membuat pusingan U. Namun terpaksa berhenti di Parit Telibek kerana empat tayarnya pecah akibat terkena tembakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek cuba melarikan diri namun dihalang anggota polis dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan.

Mustafa berkata, suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Siasatan ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2021 @ 8:16pm
d