mutakhir

Kerja pembinaan SUKE di Alam Damai diarah henti

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor; Nurul Hidayah Bahauddin; Redzuan Muharam dan Hajar Umira Syuaadah Md Zaki

Kuala Lumpur: Projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Alam Damai, Cheras dihentikan serta-merta susulan sehingga situasi pembinaan disahkan selamat.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, laluan di kawasan berkenaan juga ditutup sehingga siasatan selesai.

"Kita sudah mengarahkan kerja-kerja pembinaan dihentikan kecuali kerja-kerja menyelamat yang mungkin selesai sehingga 12 tengah malam ini," katanya kepada media selepas melawat lokasi kejadian, hari ini.

"Pihak pemaju juga sudah diarahkan untuk mencari jalan alternatif memandangkan penduduk di sebuah apartment berdekatan tidak mempunyai jalan raya lain untuk masuk ke kediaman itu," katanya.

Dalam kejadian 8 pagi tadi, tiga pekerja warga China maut manakala dua lagi terselamat dan seorang lelaki warga tempatan cedera selepas komponen kren gantri di tapak pembinaan laluan lebuh raya bertingkat terjatuh dan menghempap sebuah kereta

Beliau berkata, komponen kren gantri terjatuh ketika kerjapenyelenggaraan kren sedang dijalankan.

"Jika berlaku pemasangan beam, jalan raya di sini ditutup dan tadi hanya kerja-kerja penyelenggaran dijalankan.

"Mangsa yang terbabit sedang melakukan penyelenggaran di situ," katanya.

Beliau turut mengesahkan kejadian itu membabitkan kontraktor berlainan daripada kejadian yang mengakibatkan dua wanita pekerja kilang maut selepas kejadian perancah besi dalam pembinaan (SUKE) runtuh, di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), 3 Mac lalu.

"Ketika ini pelbagai agensi termasuklah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan ( CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Pasukan Bomba dan Penyelamat akan menilai cadangan keselamatan terbaharu bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan di situ.

"Kita sudah mengarahkan bahagian keselamatan daripada pihak pemaju dan kontraktor untuk memberi tindakan dari sudut keselamatan dan ia akan dinilai dari oleh agensi-agensi bertanggungjawab," katanya.

Beliau menjelaskan, projek pembinaan lebuh raya itu adalah di bawah LLM.

"Saya sendiri sudah dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia dan bahagian keselamatan pekerja adalah di bawah mereka.

"Saya sendiri turun untuk melihat gambaran sebenar berbanding apa yang tersebar di media sosial. Namun setakat ini punca kejadian masih belum diketahui," katanya.

Berita berkaitan:

  • Jalan perlu ditutup jika alih struktur berat - Fadillah [METROTV]
  • Kaji punca kemalangan di tapak pembinaan - PPJK [METROTV]
  • 3 maut tragedi komponen kren gantri terjatuh [MetroTV]
  • Disiarkan pada: March 22, 2021 @ 3:18pm
    d