mutakhir

4 dah kena tangkap... [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki di jalan berhampiran Bulatan Pahang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menahan empat lelaki berusia antara 16 hingga 42 tahun di beberapa lokasi sekitar ibu kota ini bermula 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham berkaitan halangan sebuah motosikal ke atas kenderaan pacuan empat roda di Lorong Haji Hussin, Chow Kit.

"Semua suspek yang ditahan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 25 Mac nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, hasil ujian air kencing dilakukan terhadap semua suspek didapati negatif dadah.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang sedia ada.

"Selain itu, kami juga memohon orang ramai supaya tidak menularkan video yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi dua minit 38 saat menunjukkan beberapa motosikal dilihat mengepung sebuah kenderaan pacuan empat roda di jalan berhampiran Bulatan Pahang, yang tular di media sosial, hari ini.

Dalam video berkenaan, beberapa motosikal terbabit yang dinaiki sekumpulan lelaki berjaya menahan kenderaan pacuan empat roda berkenaan sebelum kenderaan itu dibaling menggunakan objek dipercayai helmet.

Tindakan itu menyebabkan cermin di bahagian penumpang kenderaan pacuan empat roda berkenaan pecah dan pemandunya dilihat keluar dari kenderaan itu sambil menghunus parang sebelum dilihat beredar dari lokasi beberapa saat kemudian.

Disiarkan pada: March 22, 2021 @ 3:55pm
d