mutakhir

Jawatankuasa khas siasat ajaran sesat, Syiah

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Semua aspek ajaran sesat dan doktrin palsu termasuk Syiah disiasat sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia bertujuan untuk meneliti semua aspek ajaran yang sudah difatwa dan masih aktif di negeri itu.

Katanya, ia bertujuan menilai tabiat dan lingkungan tokoh-tokoh ajaran terbabit untuk tindakan susulan.

"Ketika saya dilantik menerajui Jais, kita adakan jawatankuasa ini antaranya untuk melihat kemungkinan cadangan pindaan fatwa yang berkaitan.

"Selain itu, ia bagi menilai semula pendekatan lebih menyeluruh dan menyusun tindakan penguatkuasaan dan susulan lainnya," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Shahzihan berkata, setakat ini terdapat 43 ajaran yang difatwa sesat di Selangor dengan 14 daripadanya masih aktif, manakala 29 tidak aktif.

Muka depan Metro Ahad 21 Mac lalu melaporkan terdapat lebih 10 hauzah (rumah ibadat Syiah) yang beroperasi di seluruh negara dan ia turut digunakan sebagai aktiviti serta markas gerakan terbabit.

Ia juga digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan dan pertemuan antara pengikut.

Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, pengikut ajaran terbabit bergerak dalam kumpulan lebih kecil.

Disiarkan pada: March 23, 2021 @ 10:24am
d